BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, 6 November 2011

Pengorbanan Penuh Keikhlasan

Tidak kita nafikan, disebalik bahagian dunia yang lain, ada yang sungguh lewah dengan pengorbanan bagi menyambut ibadat yang sangat dituntut (sunat muakkad) di musim haji ini, berkorban. Ada yang mengorbankan kambing biri-biri yang bersyarat harus berusia setahun lebih, ada yang kambing biasa bersyaratkan dua tahun keatas, ada yang mengorbankan kerbau dan lembu yang sama juga bersyarat harus 2 tahun dan ada juga mengorbankan unta yang harus 4 tahun ke atas usianya. Alhamdulillah. Apa yang penting, bukan hanya besarnya pengorbanan dilihat, bukan hanya banyaknya daging diinfak, namun yang paling utama keikhlasan kita untuk mencapai keredhaan Allah atas dasar takwa kepadaNya semata.


"Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridhaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik."[QS al-Hajj, 22:37]

Semoga ibroh isi pengorbanan yang perlu disaluti dengan keikhlasan kita jadikan pengajaran dalam berkorban menuju redha-Nya. Pengorbanan yang mungkin ada antara kita sangat-sangat besar memperjuangkan agama Allah, ada yang berkorban masa, harta dan tenaga di jalan Allah, ada yang mengorbankan nafsu serakah dan cinta teman wanita/lelaki demi menjauhkan diri dari larangan-Nya, ada yang sanggup mengorbankan masa tidurnya untuk bangun menghidupkan malam dan melaksanakan solat di subuh hari, dan banyak lagi pengorbanan demi mentaati perintah Allah dan demi menjauh larangan Allah, namun apalah erti pengorbanan jika tidak didasari alas keikhlasan? Ingatlah nasihat Allah kepada Nabi Mulia, Nabi Ibrahim agar ikhlas hanya untuk Allah semata.

"Dan (ingatlah), ketika Kami memberikan tempat kepada Ibrahim di tempat Baitullah (dengan mengatakan): "Janganlah kamu memperserikatkan sesuatupun dengan Aku dan sucikanlah rumahKu ini bagi orang-orang yang thawaf, dan orang-orang yang beribadat dan orang-orang yang ruku' dan sujud. [QS al-Hajj, 22:26]

Ayuh kita berbuat lagi di jalan Allah dengan kekuatan keikhlasan yang pasti akan memacu laju, gencar dan utuh menapaki jalan perjuangan kerana kita berbuat kerana Allah semata, bukan kerana mengharapkan pujian, perhatian dan penghargaan dari manusia. Keikhlasan akan membuat kita istiqamah dan terus berjuang walau orang lain sudah berhenti di jalan-Nya, walau orang lain tidak melakukannya, walau orang lain tiada lagi menyuruhnya, kerana dia tahu, dia lakukan segalanya di bawah pandangan Allah semata, bukan pandangan manusia.

 
Anak Tirikan Aidil Adha

Aku melalui jalan menuju ke masjid. Sunyi. Aku bertakbir bersama masyarakat di sini. Sedikit. Aku melalui rumah dan kedai kembali. Sepi. Rupanya beginilah sambutan Hari Raya Aidil Adha di sini, bahkan kebanyakan negeri, apatah lagi sabah itu sendiri, pasti lebih menyepi. Ada sesuatu yang berkecamuk di hati, ada sesuatu membuat aku terfikir, saban tahun terus begini, akan ku bicarakan kini.

Mengapa kita perhatikan sambutan hari raya Aidiladha/korban/haji sangat jauh kemeriahannya berbanding hari raya aidilfitri yang kita sambut dengan meriah sekali. Bahkan ketika aidilfitri, sebulan sebelum ia mendatang kita sudah sibuk membuat persediaan itu dan ini. Corong-corong radio mahupun TV berbondong-bondong memperkatakan soal aidilfitri. Gedung-gedung membeli belah apatah lagi, dengan iklan dan promosi yang beralaskan tempoh hari raya aidilfitri. Bahkan kita sendiri sibuk menempah kuih muih, baju ditempah seawal dan sebanyak yang mungkin, cuti panjang diambil sehabis mungkin, dan semua perkara yang pasti kita semua sedia maklumi.

Saya bukan ingin mempersoalkan hal yang kecil sebegini, silakan dengan kemeriahan di aidilfitri, tapi mengapa aidiladha dibiarkan menyepi? Generasi terdahulu sangat sedih ketika Ramadhan berlalu pergi, generasi terkemudian sangat gembira meriah bila ramadhan berakhir. Meriah sehingga terlupa ia baru melalui Ramadhan yang mendidik hati dan akhirnya terkandas di aidilfitri.

Aidiladha pula bagaimana? Ada yang gembira, ada yang sedih namun kebanyakannya tidak peduli. Sedangkan ibroh disebalik hari raya korban jauh lebih kita ketahui. Sebuah ibroh pengorbanaan yang agung untuk kita hayati dan contohi demi meraih cinta Illahi. Takbir raya memuji kebesaran Allah diberikan tempoh selama 4 hari berbanding hari raya aidilfitri yang tidak sampai sehari kerana memang sambutan hari raya aidiladha ada hikmahnya yang tersembunyi.

Terkadang ada pihak yang ingin menutupi dan mengaburi mata, minda dan hati umat Islam agar lebih mengutamakan perkara lain yang kurang sedikit manfaatnya kepada umat Islam berbanding sebuah perkara yang jauh lebih bermanfaat jika umat Islam mengetahui dan mengamalkannya, iaitu cinta tertinggi. Jika umat Islam menghayati sungguh-sungguh dan menjadikan ia sumber motivasi yang mengorak langkah menuju cinta yang Maha Tinggi, nescaya hasutan, penipuan dan helah musuh Islam untuk umat Islam mengorbankan cinta kepada Allah demi cinta kepada lainnya akan hancur tiada berbaki.

Saya sangat mengharapkan tradisi menganak-tirikan Hari Raya Aidil Adha perlu kita perbaiki dan perbetulkan arahnya kembali agar kita umat Islam mampu meraih ibroh yang terlalu agung untuk kita contohi. Tidak perlu menunggu orang lain memeriahkan suasana ini, kita mulakan dari diri sendiri, keluarga sendiri dan akhirnya orang sekeliling akan mengikuti. Saya tidak maksudkan kemeriahan adalah dalam bentuk yang menghancurkan lagi umat Islam, tapi kemeriahan yang mampu mentarbiyyah lagi umat Islam. Program-program penghayatan, suara-suara berkisar aidiladha di pelbagai medium media massa, promosi-promosi menaikkan semangat umat Islam untuk berinfak, agar ia semua menjadi peringatan bahawa sekarang adalah Hari Raya Aidil Adha...
Sekian dari Mie_Epul....Selamat hari raya Aidil Adha

0 comments: